Thursday, March 15, 2012

Sajak buat tatapan semua


Sajak Mengintai Ruang Insaf
Semakin berat kejahilan
Terpikul di bahu
Semakin jauh perjalanan
Memburu nur-Mu

Sewaktu berlari di padang hidup
Kerap kakiku tersadung selirat akar
Tubuhku tercalar duri pidana
Pada samar kejauhan
Ancala mulia makin kabur
Dan menghilang

Sekadar songsong aksara kata
Tanpa kembali ke tunjang makna
“Apakah dalam saraf khilaf 
masih terbuka ruang untuk
 dianugerahkan keinsafan ?”

Rabb,
Moga pintu taubat-Mu terbuka
Sebelum api dari bara itu menyala.
                                                                                                                   
                                                                                                                    Shukri Abdullah
Dewan Bahasa dan Pustaka




MAKSUD SAJAK
Rangkap pertama: Perjalanan untuk mencari keredaan Tuhan semakin sukar akibat
                             kekurangan ilmu.
Rangkap kedua    : Dalam menjalani  kehidupan seharian, penyajak tidak lepas daripada
                              melakukan kesilapan. Akibatnya, jalan menuju kebenaran semakin 
                              sukar diperoleh.
Rangkap ketiga     : Penyajak sangsi  sama ada perasaan insaf akan wujud dalam dirinya.
Rangkap keempat : Penyajak berharap agar peluang menebus kesalahan masih terbuka
                              untuknya.

TEMA
Sajak ini bertemakan keinsafan seseorang yang bermunasabah diri atas kesilapan yang dilakukan dan keinginan untuk bertaubat.

PERSOALAN
1.  manusia tidak terlepas daripada melakukan  dan kesalahan
2. perlunya perasaan insaf dalam diri
3. perasaan kesal atas kesalahan yang dilakukan
4. keinginan untuk bertaubat

BENTUK SAJAK
1.  Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
2.  Jumlah patah kata dan suku kata dalam setiap baris sajak ini juga bersifat bebas.
3.  Begitu juga rima akhir atau skema rima sajak ini juga bebas : abab, abcdbe, aabcd,
     abb.
4.  Tegasnya, sajak ini adalah berbentuk bebas.





UNSUR KEINDAHAN
1.  Pemilihan kata atau diksinya indah(puitis). Contohnya : ancala mulia makin kabur.
2.  Unsur gaya bahasa dalam sajak ini termasuklah:
a) metafora:
padang hidup-rangkap 2, baris 1
padang hidup bermaksud tempat kehidupan
b) hiperbola:
sebelum api dari bara itu menyala-rangkap 4, baris 3.
Dalam sajak ini, api dari bara melambangkan api neraka dan perbandingan ini suatu perbandingan melampau.
c) perlambangan atau imejan:
ancala mulia-rangkap 2, baris 5
Ancala bermaksud gunung. Dalam sajak ini ancala mulia melambangkan amalan yang baik atau prinsip yang benar.
d) sinkope:
i. kakiku-rangkap 2, baris 2
ii. tubuhku-rangkap 2, baris 3
suku kata “ku” adalah daripada penyingkatan perkataan “aku” .
3.  Unsur bunyi dalam sajak ini termasuklah:
a) asonansi:
Pengulangan bunyi vokal atau pengulangan asonansi dalam sajak dapat menimbulkan keindahan rentak bunyi dan memberikan kesan pada emosi semasa membaca sajak .
Contoh:
i.  pengulangan bunyi vokal  a :
-Apakah dalam saraf khilaf-rangkap 3, baris 3.
ii.  pengulangan bunyi vokal u :
-memburu nur-Mu-rangkap 4, baris 2
iii. pengulangan bunyi vokal  i :
-ancala mulia semakin kabur-rangkap 2, baris 5
b) aliterasi :
Pengulangan bunyi huruf konsonan atau pengulangan aliterasi dalam sajak dapat menimbulkan keindahan rentak bunyi dan memberikan keindahan rentak bunyi dan memberikan kesan pada emosi  membaca sajak.
i.  pengulangan bunyi konsonan s :
-sekadar songsong aksara kata-rangkap 3 , baris 1
ii. pengulangan bunyi konsonan t :
-moga pintu taubat-Mu terbuka-rangkap 4, baris  1
iii. pengulangan bunyi konsonan n :
-dianugerahkan keinsafan-rangkap 3, baris 6

NADA
Sajak ini bernada melamkolik. Nada ini sesuai dengan sajak ini tersebut yang menggambarkan perasaan penyajak yang meinsafi diri dan mengharap peluang bertaubat terbuka untuknya.

NILAI
1.  Nilai keinsafan. Contohnya, perasaan insaf penyajak terhadap  kesalahan masa
     lampaunya.
2.  Nilai rasional. Contohnya, penyajak mengakui kesilapan yang telah dilakukannya.
3.  Nilai kejujuran. Contohnya, sifat jujur  dan ikhlas ketika memohon keampunan.

PENGAJARAN
1.  Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah kita lakukan.
2.  Kita hendaklah ikhlas dalam memohon keampunan daripada Tuhan.
3.  Kita hendaklah segera bertaubat selepas melakukan kesalahan.




                        

Wednesday, March 14, 2012

Sajak Buat Teman-teman Tersayang

WARKAH UNTUK MU PENDIDIK
nukilan: Subiyana Abd Wahab

Pendidik yang baik ialah pendidik yang beriman
Yang hatinya disalut taqwa kepada Allah
Jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang ketinggian ilmunya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah jemu dan bosan dalam menimba dan mencurah ilmu
 
Pendidik yang baik ialah yang lunak dalam tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kepada manusia lainnya
Yang mempunyai ramai kawan di serata alam
 
Pendidik yang baik ialah yang menghormati anak didiknya
Yang sentiasa berbakti kepada masyarakat sekelilingnya
Yang menjaga keharmonian anak bangsanya
Yang mendidik anak bangsa mendalami ilmu pengetahuan
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat
 
Pendidik yang baik sentiasa bersedia untuk mencurahkan ilmunya
Yang hidupnya sentiasa mencontohi sifat Rasulullah
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang anak didiknya ibarat jiwa dan raganya
Yang sentiasa bersujud penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya
 
Pendidik yang baik tidak tahu membazirkan masa
Kehidupannya dikelilingi lautan ilmu
Biarpun sudah di usia senja
Digagahi juga demi anak bangsa
 
Untukmu pendidik yang baik
Untukmu pendidik yang beriman
Doaku moga keikhlasanmu mencurahkan ilmu
InsyaAllah akan dituai hasilnya di akhirat sana….. 



 
1. Nyatakan  ciri-ciri pendidik yang baik.

2. Berikan maksud  frasa ‘ lunak dalam tutur katanya ‘ yang terdapat  dalam 
    rangkap kedua.

3. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh penyajak dalam sajak ini?

4. Sekiranya anda seorang pendidik . Adakah anda merupakan pendidik
     yang baik?  Berikan alasan anda. 

5. Pada pendapat anda, apakah peranan seorang pendidik dalam masyarakat?
    
 











 



Assalamualaikum