Sajak Mengintai Ruang Insaf
Semakin berat kejahilan
Terpikul di bahu
Semakin jauh perjalanan
Memburu nur-Mu
Sewaktu berlari di padang hidup
Kerap kakiku tersadung selirat akar
Tubuhku tercalar duri pidana
Pada samar kejauhan
Ancala mulia makin kabur
Dan menghilang
Sekadar songsong aksara kata
Tanpa kembali ke tunjang makna
“Apakah dalam saraf khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan ?”
Rabb,
Moga pintu taubat-Mu terbuka
Sebelum api dari bara itu menyala.
Shukri Abdullah
Dewan Bahasa dan Pustaka
MAKSUD SAJAK
Rangkap pertama: Perjalanan untuk mencari keredaan Tuhan semakin sukar akibat
kekurangan ilmu.
Rangkap kedua : Dalam menjalani kehidupan seharian, penyajak tidak lepas daripada
melakukan kesilapan. Akibatnya, jalan menuju kebenaran semakin
sukar diperoleh.
Rangkap ketiga : Penyajak sangsi sama ada perasaan insaf akan wujud dalam dirinya.
Rangkap keempat : Penyajak berharap agar peluang menebus kesalahan masih terbuka
untuknya.
TEMA
Sajak ini bertemakan keinsafan seseorang yang bermunasabah diri atas kesilapan yang dilakukan dan keinginan untuk bertaubat.
PERSOALAN
1. manusia tidak terlepas daripada melakukan dan kesalahan
2. perlunya perasaan insaf dalam diri
3. perasaan kesal atas kesalahan yang dilakukan
4. keinginan untuk bertaubat
BENTUK SAJAK
1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
2. Jumlah patah kata dan suku kata dalam setiap baris sajak ini juga bersifat bebas.
3. Begitu juga rima akhir atau skema rima sajak ini juga bebas : abab, abcdbe, aabcd,
abb.
4. Tegasnya, sajak ini adalah berbentuk bebas.
UNSUR KEINDAHAN
1. Pemilihan kata atau diksinya indah(puitis). Contohnya : ancala mulia makin kabur.
2. Unsur gaya bahasa dalam sajak ini termasuklah:
a) metafora:
padang hidup-rangkap 2, baris 1
padang hidup bermaksud tempat kehidupan
b) hiperbola:
sebelum api dari bara itu menyala-rangkap 4, baris 3.
Dalam sajak ini, api dari bara melambangkan api neraka dan perbandingan ini suatu perbandingan melampau.
c) perlambangan atau imejan:
ancala mulia-rangkap 2, baris 5
Ancala bermaksud gunung. Dalam sajak ini ancala mulia melambangkan amalan yang baik atau prinsip yang benar.
d) sinkope:
i. kakiku-rangkap 2, baris 2
ii. tubuhku-rangkap 2, baris 3
suku kata “ku” adalah daripada penyingkatan perkataan “aku” .
3. Unsur bunyi dalam sajak ini termasuklah:
a) asonansi:
Pengulangan bunyi vokal atau pengulangan asonansi dalam sajak dapat menimbulkan keindahan rentak bunyi dan memberikan kesan pada emosi semasa membaca sajak .
Contoh:
i. pengulangan bunyi vokal a :
-Apakah dalam saraf khilaf-rangkap 3, baris 3.
ii. pengulangan bunyi vokal u :
-memburu nur-Mu-rangkap 4, baris 2
iii. pengulangan bunyi vokal i :
-ancala mulia semakin kabur-rangkap 2, baris 5
b) aliterasi :
Pengulangan bunyi huruf konsonan atau pengulangan aliterasi dalam sajak dapat menimbulkan keindahan rentak bunyi dan memberikan keindahan rentak bunyi dan memberikan kesan pada emosi membaca sajak.
i. pengulangan bunyi konsonan s :
-sekadar songsong aksara kata-rangkap 3 , baris 1
ii. pengulangan bunyi konsonan t :
-moga pintu taubat-Mu terbuka-rangkap 4, baris 1
iii. pengulangan bunyi konsonan n :
-dianugerahkan keinsafan-rangkap 3, baris 6
NADA
Sajak ini bernada melamkolik. Nada ini sesuai dengan sajak ini tersebut yang menggambarkan perasaan penyajak yang meinsafi diri dan mengharap peluang bertaubat terbuka untuknya.
NILAI
1. Nilai keinsafan. Contohnya, perasaan insaf penyajak terhadap kesalahan masa
lampaunya.
2. Nilai rasional. Contohnya, penyajak mengakui kesilapan yang telah dilakukannya.
3. Nilai kejujuran. Contohnya, sifat jujur dan ikhlas ketika memohon keampunan.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah kita lakukan.
2. Kita hendaklah ikhlas dalam memohon keampunan daripada Tuhan.
3. Kita hendaklah segera bertaubat selepas melakukan kesalahan.
No comments:
Post a Comment